Kami

23 December 2008

Wajah-wajah

Inilah wajah terbaru Dr. Hilmun Hanim @ Mun (Unair 92) bersama suami dan anak-anak mereka. Dr. Hilmun kini bertugas di Alor Setar, Kedah.

Roslina Rosli @ Olin (Unair 91) bersama suami dan tiga puterinya. Beliau kini bertugas dengan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Terima kasih atas kiriman kalian!

p/s: Mereka yang mahu memaparkan wajah terbaru masing-masing bersama keluarga boleh emailkan foto anda ke: alumnijawatimur@gmail.com

10 December 2008

Peluang jadi AJK

Alumni Jawa Timur membuka peluang kepada mana-mana alumni lulusan institusi pengajian tinggi atau pondok pesantren dari Jawa Timur, Indonesia untuk menjadi ahli jawatankuasa protem/penaja bagi penubuhan Persatuan Alumni Jawa Timur.

Bagaimanapun keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal atau bertugas di sekitar Lembah Klang bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti atau bermesyuarat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Sdr. Lukman Ismail di talian 012-6066675 atau email: alumnijawatimur@gmail.com atau memberi komen melalui blog ini.

Pembentukan AJK protem perlu bagi membolehkan persatuan ini didaftarkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan (ROA) dan bergerak secara sah bagi menjalankan aktivitinya.

03 December 2008

Warga Surabaya terpikat dengan produk Malaysia

SURABAYA : "Tengoklah, teh tarik, wow!," kata Wiling Susanti dari sebuah syarikat pengeluar makanan dan minuman dengan penuh kekaguman apabila melihat cara minuman itu disediakan. Wanita ini mengaku telah jatuh cinta dengan minuman itu sejak pertama kali mencubanya.

"Uncang teh ini, yang diadun khusus bagi menyediakan teh tarik, lebih enak daripada produk teh keluaran tempatan kita," katanya.

Minuman yang popular dalam kalangan penduduk Malaysai itu disediakan chef Shahrizan Mohd Rafi, yang dibawa khusus dari Malaysia ke Pesta Malaysia 2008 bagi memperomosikan produk keluaran Malaysia pada 27 dan 28 Jun di Sinar Supermarket di sini, anjuran pejabat Perbadanan Pembangunan Perniagaan Luar Malaysia (Matrade) Jakarta.

Setelah menikmati keenakan minuman itu, Wiling berkata beliau akan mengesyorkan kepada syarikat tempatnya bekerja supaya mengimport produk berkenaan kerana yakin penduduk Surabaya kini bersedia meneroka cita rasa baru teh, selain "es teh manis" yang menjadi kegemaran mereka.

Sementara itu, Shahrizan, 22, pula berkata beliau amat gembira apabila berjaya menarik lebih banyak orang, khususnya rakyat Indonesia, menjadi penggemar teh tarik.

Chef dari Kuala Selangor ini, yang pernah memenangi pertandingan menyediakan teh tarik di Malaysia, berkata beliau tidak jemu menyediakan beribu-ribu cawan minuman itu sambil menari dan mempamerkan kebolehannya "menarik" teh sepanjang pesta dua hari itu.

"Kebanyakan pengunjung terhibur dan menunjukkan tanda "bagus" kepada saya sebagai tanda mereka sukakan minuman ini. Saya jadi macam seorang selebriti, ramai yang bergambar dengan saya," katanya.

Pengunjung berkenaan adalah antara beribu-ribu penduduk Surabaya yang berpeluang meninjau kira-kira 600 produk yang dipamerkan oleh 35 syarikat Malaysia pada pesta itu.

Selepas meneliti bungkusan, merasa dan membuat perbandingan harga, kebanyakan pengunjung berkata mereka sukakan barangan keluaran Malaysia.

Kebanyakan daripada kalangan golongan elit yang tinggal di bandar raya kedua terbesar di Indonesia ini berkata mereka kagum dengan kualiti pembungkusan produk keluaran Malaysia yang bertaraf dunia.

Seorang daripada mereka, Yulee, yang bertugas dengan syarikat import eksport tempatan kedengaran berkata: "Tengok ini... orang akan menyangkanya biskut terkenal dari Eropah.

Dan rasanya... saya pasti, lebih enak," sambil mengambil sebiji lagi biskut coklat keluaran Malaysia bagi memenuhi seleranya.

Seorang lagi chef selebriti Malaysia Zamzuri Abdul Wahab, pensyarah kanan di KDU College di Petaling Jaya, telah menawan hati kebanyakan kaum ibu ke pesta itu apabila beliau mempamerkan kemahirannya di dapur, yang dibuka di ruang legar pasar raya berkenaan.

"Saya yakin pengunjung di sini sukakan Malaysia, terutama hidangan yang saya sediakan.

"Semuanya habis diambil sebaik saja saya selesai menyediakannya," kata chef yang sentiasa ceria itu, yang bukan saja mahir dalam menyajikan "nasi lemak" kepada pengunjung, tetapi juga menjadi tarikan pelawat apabila beliau bertindak sebagai pengacara bersama dengan seorang selebriti televisyen tempatan.

Pengarah urusan Sinar Supermarket Edward Tjandrakusuma, yang kagum dengan persembahan pada pesta itu memberitahu Bernama bahawa beliau bertindak tepat apabila membuat keputusan menjadi tuan rumah Pesta Malaysia 2008.

"Jumlah pengunjung ke pasar raya ini meningkat dengan ketara sepanjang dua hari berkenaan. Bagi saya, promosi ini berjaya, baik bagi pasar raya ini, mahupun bagi Malaysia, memandangkan kami menerima kira-kira 60,000 pengunjung sepanjang dua hari berkenaan," katanya.

Beliau berkata penduduk Surabaya yang berjumlah kira-kira 3.2 juta, kini lebih mudah menerima cita rasa antarabangsa dan sedia mencuba makanan serta produk baru kerana mereka memiliki kuasa membeli lebih tinggi berbanding penduduk di bandar raya wilayah kecil lain.

Tjandrakusuma berkata beliau percaya produk pengguna dari Malaysia, terutama makanan dan minuman, mudah mendapat tempat di sini dan penduduk Islam Indonesia lebih yakin dengan status halal produk yang dihasilkan negara Islam seperti Malaysia.

"Saya yakin kami berjaya mewujudkan suasana 'Feel Good' (keindahan rasa) tentang Malaysia di sini dan apa yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan lagi promosi bagi menanam dalam minda penduduk Surabaya tentang kehebatan produk Malaysia," katanya sambil melahirkan harapan agar beliau dapat mengadakan promosi serupa pada masa akan datang.
- Bernama, 6 Julai 2008.