Kami

18 October 2009

MoU UKM dengan Universitas Airlangga

SURABAYA 16 Okt. - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas Airlangga (Unair) di sini semalam.

UKM diwakili Timbalan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak, manakala Unair diwakili Naib Rektor I, Prof. Dr. H. M Zainuddin.

Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar.
MoU itu membolehkan kedua-dua universiti bekerjasama di dalam bidang penyelidikan, program akademik, pertukaran maklumat, ahli fakulti, pelajar dan seminar serta persidangan.

Kerjasama itu membabitkan Pusat Perubatan UKM, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Farmasi, Fakulti Undang-Undang dan Institut Perubatan Molekul UKM dengan Unair.

Di pihak Unair, kerjasama itu digerakkan oleh Fakulti Kedoktoran, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Perikanan dan Kelautan, Fakulti Psikologi, Fakulti Farmasi dan Fakulti Hukum.

Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak berharap, kerjasama itu akan dapat meningkatkan lagi prestasi dan imej kedua-dua universiti berkenaan.

Menurut beliau, MoU tersebut adalah selari dengan usaha mempromosi dan mengantarabangsakan kepakaran dan keunikan UKM.

''Justeru, saya berharap kedua-dua pihak dapat memulakan usaha merangka pelan tindakan untuk mencapai hasrat ini dan seterusnya melaksanakan agenda yang telah dirancangkan.

''Saya yakin dengan komitmen dan kesungguhan kedua-dua pihak, agenda-agenda yang dirancang itu akan menjadi realiti dan boleh memberi impak ke arah peningkatan imej serta prestasi kedua-dua institusi itu,'' katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu juga dapat merapatkan hubungan kedua-dua buah negara berjiran.

Terdahulu, pada sebelah malam, satu jamuan makan malam diadakan bersama-sama dengan 150 ahli Alumni UKM dari Indonesia.

Setakat ini, terdapat kira-kira 5,000 ahli Alumni UKM dari negara jiran itu. - Utusan

08 October 2009

Info Dinner Alumni Jatim II

Tarikh: Ahad, 22 November 2009
Tempat: Belum ditetapkan tetapi di Kuala Lumpur atau sekitarnya
Bayaran: Di bawah RM50 seorang (dewasa)

Antara aktiviti yang dirancang:
  • Pakaian dengan warna tema (Merah/Putih)
  • Pertukaran cenderamata
  • Karaoke
  • Lain-lain (sedang difikirkan. Jika ada idea, boleh beri cadangan di bahagian komen!)
Woro-woro... kita meriahkan majlis ini. Sambil makan, sambil ngobrol & mengimbau kenangan lama....!!

Makan malam Alumni Jatim II

Alumni Jawa Timur akan mengadakan majlis makan malam bagi menghimpun para alumni lulusan institusi pengajian di Jawa Timur baik di Surabaya, Malang, Pasuruan, Ponorogo dan lain-lain tempat.

Majlis makan malam ini adalah kali kedua diadakan selepas tahun lalu berjaya mengumpul lebih 50 alumni dan ahli keluarga masing-masing di Hotel Regency Kuala Lumpur.

Selepas mendapatkan maklum balas dari kalangan alumni, majlis makan malam Alumni Jatim II tahun ini akan diadakan pada Ahad, 22 November 2009 di sekitar Kuala Lumpur.

Sebagai kali kedua diadakan, majlis tahun ini akan diberikan beberapa kelaian bagi memastikan ia lebih meriah dan dapat meninggalkan kenangan yang tidak sekejap kepada mereka yang hadir.

Justeru, mereka yang berminat untuk sama-sama menghadiri jamuan makan malam dan juga majlis "reunion" itu boleh merancang cuti masing-masing memandangkan tarikh tersebut adalah hari awal cuti sekolah.

Perkembangan dari masa ke semasa berhubung majlis ini akan dipaparkan di dalam blog Alumni Jawa Timur ini atau menerusi rangkaian Facebook Group atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).