Kami

07 September 2009

Muhammad pelapis ulama

ADIK Muhammad Ahmad Zahid pastinya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, sama ada di khalayak rantau ini mahupun antarabangsa. Ini kerana personaliti cilik kelahiran kota metropolitan Kuala Lumpur ini, sering menjadi rebutan stesen-stesen televisyen, radio dan media cetak.

Malah kelunakan suara dan kefasihan beliau memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, apatah lagi dalam bulan Ramadan, menjadikan kemunculan hafiz muda ini sentiasa dinanti-nantikan tidak kira tua mahupun muda.

"Malam semalam dan malam tadi, Muhammad mengetuai solat sunat tarawih di Masjid Negeri Shah Alam. Boleh dikatakan sepanjang Ramadan ini juga, jadual sebelah malamnya sudah terisi penuh.

"Muhammad juga insya-Allah akan menjadi imam solat tarawih di Masjid Negeri Shah Alam sekali lagi pada Isnin malam Selasa iaitu pada 7 September (malam ini). Ia adalah atas permintaan khas adinda Sultan Selangor di mana Sultan Selangor sendiri akan bersolat berimamkan Muhammad pada malam itu. Saya berharap masyarakat Islam, khususnya yang berada di Shah Alam beramai-ramai mengimarahkan Masjid Negeri pada malam itu.

"Pada sebelah pagi pula, kalau cuti sekolah macam ini, ada juga dia memenuhi undangan mengaji daripada pelbagai pihak, selain menjayakan sesi wawancara," terang bapa Muhammad, Ahmad Zahid Zainal Abidin, 42, sebaik menjemput penulis masuk dan tatkala melabuhkan punggung di sofa empuk di rumah teres mereka yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Kesudian dan kebenaran penasihat undang-undang, Ahmad Zahid dan isterinya, Dr. Siti Khadijah Fadzil, 42, yang juga seorang doktor gigi, memenuhi sesi wawancara dan fotografi bagi terbitan Mega sempena Nuzul Quran memang amat dihargai.

Apatah lagi, ia dibuat pada cuti umum di mana rakyat Malaysia sedang meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-52 pada tahun ini.

Sempat membelek sebuah bibliografi beliau bertajuk, Muhammad - Hafiz Muda yang telah diterbitkan dan dipasarkan oleh syarikat Galeri Ilmu.

Seketika itu, penulis mengakui usaha mengangkat adik Muhammad menjadi role model, sekali gus bergelar juara itu berbaloi apatah lagi, menyedari ia bukanlah sesuatu yang mudah. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bahkan, segala yang direncanakan oleh ibu bapa pelajar tingkatan dua Sekolah Integrasi Darul Hikmah yang terletak di Jalan Ampang, Selangor ini, bukan sekadar melahirkan anak-anak hafiz dan hafizah, tetapi perjuangan mereka masih belum selesai iaitu melahirkan pelapis ulama.


Catatan:
* Dr. Siti Khadijah Fadzil merupakan alumni Jawa Timur dan lulusan UNAIR

No comments: