Kami

07 September 2009

Puasa bagi pesakit diabetes

KAJIAN Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan ketiga, tiga tahun lalu menunjukkan sebanyak 1.6 juta rakyat atau setiap seorang daripada lapan penduduk negara berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetes.

Jumlah berkenaan didapati meningkat sebanyak 80 peratus dalam tempoh 10 tahun iaitu daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

Apa yang semakin membimbangkan, lebih satu pertiga iaitu kira-kira 600,000 daripada jumlah itu tidak mengetahui mereka menghidap penyakit berkenaan, justeru gaya hidup masyarakat perlu ditukar segera kerana ia dikaitkan juga sebagai penyakit orang kaya yang bermewah-mewah dengan makanan.

Promosi berbuka puasa yang ‘lebat’ bagaikan syurga makanan dikhuatiri menyukarkan pesakit diabetes berdisiplin. Malah mungkin juga ancaman kepada individu yang tidak mengetahui mengenai status kesihatan masing-masing.

Pegawai Perubatan Klinik Nur Sejahtera, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Norlee Hazaniza Ahmad, berkata bukan saja pesakit perlu memandang serius soal pengambilan makanan sepanjang Ramadan, sebaliknya golongan dewasa lain perlu berpada-pada memilih juadah ketika berbuka puasa.

“Berlapar dari dinihari hingga ke senja iaitu hingga 13 jam ketika Ramadan, bukan alasan kepada pesakit diabetes mengabaikan pengambilan makanan sihat dan sempurna dengan menjauhi makanan manis bergula.

“Pesakit perlu mengurangkan pengambilan makan manis atau tinggi karbohidrat pada waktu berbuka dan bersahur, sebaliknya digantikan dengan pengambilan banyak sayur-sayuran, buah-buahan segar serta minum air secukupnya. Berpuasa tidak mengubah cara pengambilan makanan pesakit diabetes sebaliknya yang berubah hanyalah pengambilan ubat-ubatan iaitu diterbalikkan dos iaitu biasanya dos tinggi pada waktu pagi, dos rendah waktu malam diterbalikkan iaitu dos rendah waktu pagi, dos tinggi waktu malam atau berbuka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Diabetes Mellitus atau kencing manis berlaku apabila badan tidak dapat menghasilkan cukup insulin atau bereaksi terhadap insulin.

Insulin dihasilkan oleh kelenjar pankreas dan ia membuatkan sel badan dapat menyerap gula bagi menukarkannya menjadi tenaga untuk kegunaan seharian.

Dr Norlee berkata, diabetes selalunya dikaitkan dengan makanan, justeru pengambilan makanan perlu diberikan perhatian serius kerana jika gula dalam darah terlalu tinggi boleh menyebabkan berlaku hiperglisemia yang boleh mengakibatkan mengantuk keterlaluan dan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, sekiranya pesakit ‘mengikat perut’ ketika berbuka pula dikhuatiri kadar gula dalam darah menjadi rendah, sekali gus mengakibatkan hipoglisemia akibat pengambilan makanan terlalu sedikit dan kadar ubat yang berlebihan pula. Tanda dan gejala termasuklah pucat, rasa kelaparan teramat sangat, berpeluh-peluh, menggeletar, berdebar-debar, resah gelisah, keletihan melampau dan tidak sedarkan diri.

“Ketakutan terhadap diabetes ialah kerana ia menyebabkan komplikasi menyakitkan dan berpanjangan, termasuklah penyakit saraf, mata, buah pinggang, angin ahmar selain kardiovaskular seperti darah tinggi dan jantung.

“Merawat diabetes hanyalah menerusi kawalan makanan seperti disarankan piramid makanan yang mana kurangkan makanan manis dan berlemak sebaliknya lebihkan serat kerana makanan sedemikian hanya menyebabkan obesiti sekiranya tidak diikuti senaman.

“Di samping itu pengambilan ubat-ubatan seperti daonil, diamicron dan metformin perlu dilakukan mengikut aturan ditetapkan. Mana yang sepatutnya dimakan sebelum atau atau selepas makan perlu diikuti bagi membolehkan ia bertindak sebaik mungkin,” katanya.

Dalam keadaan tertentu apabila pesakit perlu mengambil suntikan insulin, tindakan itu tidak membatalkan puasa kerana tusukan hanya membabitkan bahagian atas kulit.

Pesakit perlu menjaga kulit dengan mandi setiap hari, mengeringkan semua bahagian badan dengan sempurna selain merawat luka dan calar dengan segera, malah berjumpa doktor jika luka tidak sembuh selepas dua atau tiga hari.

Menjaga kaki pula, pesakit perlu membasuh kaki setiap hari, mengeringkan semua bahagian kaki dengan sempurna terutama antara celah jari kaki dan paling penting periksa kaki setiap hari untuk luka, calar, melecur atau apa-apa perubahan warna kulit.

Penjagaan kaki termasuk memotong kuku secara memanjang, menukar stokin setiap hari selain memakai kasut sesuai adalah satu kemestian kerana dalam banyak kes, deria pesakit menjadi tidak sensitif.

“Ada pesakit yang datang ke hospital dengan tusukan paku pada bahagian tapak kaki tanpa disedari oleh pesakit kerana tidak merasa sakit. Ketika itu luka berkenaan semakin teruk hingga menyebabkan perlu dipotong. Dalam hal ini mengawal makanan dan berpada-pada mengambil makanan manis adalah langkah terbaik mencegah kencing manis kerana kualiti hidup boleh berkurangan apabila disahkan sebagai penghidap,” katanya.


Catatan:
Dr. Norlee Hazaniza Ahmad merupakan alumni Jawa Timur lulusan UNAIR

No comments: