Kami

27 November 2009

Kenangan dari Surabaya

Oleh MOHAMMAD ISMAIL

MENGHADIRI dan membentangkan kertas kerja di persidangan merupakan satu kebiasaan bagi ahli-ahli akademik. Mungkin persidangan di Indonesia agak kurang menarik 'senior-senior' untuk menyertainya, barang kali mereka lebih berminat untuk menyertai persidangan yang dianjurkan oleh universiti-universiti di Barat.

Sama ada prestij atau tidak apa yang penting adalah sesi percambahan ilmu merupakan satu platform yang terbaik untuk perkongsian dan pengembangan idea. Penulis berkesempatan menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh universiti perguruan tertua di Surabaya iaitu Airlangga University dengan kerjasama Cheng Kung University Taiwan.

Menjejak kaki di lapangan terbang Juanda Surabaya memberi gambaran awal yang tidak 'enak' menyaksikan gelagat sebilangan warga Indonesia yang tidak mampu dikawal oleh petugas apabila memanjat tempat untuk mengambil barang kerana hilang sabar dan ingin cepat. Mungkin ini tidak menggambarkan keseluruhan warga Indonesia tetapi cukup untuk menceritakan kenapa mereka begitu mudah 'melenting' walaupun melibatkan isu yang kecil.

Kesuraman dalam perjalanan ke bandar amat berbeza dengan Malaysia yang disinari lampu neon, mungkin mereka berbuat demikian untuk menjimatkan kos. Tetapi apabila diajukan pertanyaan oleh rakan penulis, pemandu teksi memberi jawapan yang berlapik sambil tersenyum, katanya bandar romantik.

Alangkah nikmat dan makmurnya negara kita dengan lampu jalan sentiasa menerangi jalan-jalan utama di Malaysia. Adakah kemakmuran itu disyukuri oleh orang kita?

Kota Surabaya merupakan kota kedua terbesar selepas Jakarta juga tidak sunyi daripada kesesakan atau dipanggil 'macet'. Kesesakan lalu lintas di Surabaya agak berbeza dengan Malaysia, hiruk-pikuk jalan raya diiringi dengan bunyian hon kereta apabila ada kenderaan yang ingin 'mencelah'.

Ironinya tidak ada seorang pun pemandu yang marah, menjerit, memaki hamun, mengeluarkan 'isyarat tangan' dan sebagainya. Bagi pemandu di Indonesia, membunyikan hon adalah sesuatu yang biasa, kalaulah di Malaysia pasti berbakul-bakul 'sumpahan'. Mungkin mereka di sana lebih memahami fungsi hon yang sebenar agaknya!

Kesesakan lalu lintas yang berlaku sama juga seperti di kota Jakarta, kehadiran orang awam yang meniup wisel amat membantu kelancaran perjalanan kenderaan.

Walaupun dengan 'wisel' mereka mampu 'membuat duit' tetapi kita perlu melihat di sebaliknya. Kehadiran mereka yang dipanggil 'relawan' wajar dicontohi kerana kenderaan yang melintasi jalan akan patuh kepada arahan dan 'wisel' relawan.

Kalaulah di Malaysia ada 'relawan yang sebegini pasti dapat membantu untuk mengawal kesesakan lalu lintas. Keluhuran 'relawan' tersebut perlu dipuji kerana melakukan kerja dengan rela hati tanpa-tanpa apa-apa bayaran walaupun ada yang ikhlas menghulurkan sumbangan hanya sebanyak Rp1,000 atau kira-kira 30 sen lebih dan agak ramai juga yang berlalu begitu saja.

Apa yang lebih menarik, dalam kesesakan yang berlaku, agak sukar untuk melihat kemalangan jiwa walaupun bukan sahaja kereta yang membanjiri jalan raya tetapi kenderaan lain seperti basikal, motosikal dan beca. Ada juga yang menunggang basikal secara melawan arus, namun tidak pula berlaku kemalangan.

Bandar yang hampir sunyi bermula pukul 10.00 malam waktu tempatan tidak pula kelihatan anak-anak muda yang 'merempit.' Mungkin mereka sendiri tidak mengenali apa itu istilah 'mat rempit'. Kalau di tempat kita pantang jalan sunyi pasti ada yang menghiasinya dengan aksi-aksi hebat.

Empat hari memang tidak cukup untuk menghabiskan masa untuk menonton saluran televisyen yang tersedia. Penulis mencuba satu persatu saluran televisyen untuk melihat jika ada sinetron atau pun drama Malaysia disiarkan di Indonesia. Ternyata tidak kelihatan satu pun rancangan kita yang disiarkan, sebaliknya rancangan-rancangan tempatan dan Barat yang menghiasi kaca TV.

Penulis tersenyum sendirian kerana apabila menonton kaca televisyen di Malaysia terutamanya pada siang hari pastinya kita banyak dihidangkan oleh sinetron-sinetron dari Indonesia.

Apakah drama-drama fantasi mereka lagi hebat? Apakah drama yang kadang-kadang 'membudak-budakkan' kita itu lagi berkualti? Adakah drama kita tidak memenuhi selera mereka di sana? Satu persoalan yang perlu sama-sama difikirkan.

Kenapa kita terlalu mengagung-agungkan drama Indonesia sedangkan mereka tidak melakukan perkara yang sama untuk produk kita? Namun apabila diberitahu oleh pemandu teksi bahawa rancangan "Upin dan Ipin" sangat diminati di Indonesia dan tidak dialih bahasa cukup membanggakan dan melegakan penulis.

Menonton salah satu siaran berita cukup untuk memberi gambaran kepada penulis tentang isu yang berlaku baru-baru ini. Beberapa orang penunjuk perasaan atau 'penunjuk rasa' yang ditemu ramah memberitahu kenapa mereka menyertai kumpulan penunjuk perasaan, jawapan agak melucukan.

Kebanyakan penunjuk perasaan menjawab mereka tidak tahu tujuan sebenar kenapa mereka berada dalam kelompok tersebut. Penulis cuba mengaitkan dengan isu yang berlaku baru-baru ini, mungkin ada kebenarannya kumpulan yang melaungkan anti Malaysia diupah, dibuat-buat dan sebagainya berdasarkan jawapan tersebut.

Dalam perjalanan pulang dengan penerbangan syarikat penerbangan swasta, mengingatkan penulis kepada kempen Bulan Bahasa baru-baru ini. Kesungguhan ketua pramugari menggunakan bahasa Melayu patut dipuji. Namun apabila beliau membuat pengumuman kepada majoriti penumpang yang terdiri warga Indonesia dan selebihnya warga Malaysia, penulis tersenyum serta ketawa sendirian.
\
Pengumuman yang dibuatnya menyatakan: "membawa dada di Malaysia adalah dilarang dan merupakan kesalahan yang berat." Sepatutnya beliau mengumumkan 'membawa dadah' bukannya dada.

Seorang warga Indonesia berkata kepada penulis "kalau tidak bisa membawa dada, mana mungkin bisa datang ke Malaysia pak". Mungkin sistem pembesar suara kurang elok atau kami silap pendengaran? Sesuatu yang perlu diberi perhatian agar tidak disalah ertikan.

Apa yang dapat kita simpulkan, Malaysia dan Indonesia adalah serumpun. Kita bercakap dalam bahasa yang lebih kurang sama, kita makan makanan yang rasanya agak sama walaupun ada sedikit perbezaan dari segi penggunaan nama.

Tidak ada satu sebab yang munasabah untuk sebilangan rakyat Indonesia memusuhi Malaysia kerana negara ini merupakan tempat untuk mencari rezeki dan sebahagian besar rakyat Malaysia menambahkan rezeki peniaga di Indonesia termasuk di Jakarta, Surabaya, Bandung, Medan dan sebagainya dengan membeli-belah di sana.

Kepada semua warga Indonesia yang berada di Malaysia dan Indonesia, sedarlah bahawa Indonesia dan Malaysia adalah sama, janganlah cuba untuk meniup api perpecahan kerana kita saling memerlukan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Perlis

Sumber: Utusan Malaysia, 27 November 2009

No comments: