Kami

15 November 2009

Mengapa makam Sunan Ampel jadi tumpuan?

KETIKA dalam perjalanan ke Surabaya, penulis sempat memasuki data terkini pergerakan di dalam Facebook. Salah seorang rakan memberi cadangan supaya penulis melawat makam Sunan Ampel iaitu salah seorang sembilan orang wali atau dikenali sebagai Wali Songo di Indonesia.

Menurutnya di makam berkenaan banyak cerita yang boleh ditulis, tetapi penulis agak musykil dengan saranan itu.

Bagaimanapun memandangkan rakan penulis itu pernah belajar di Surabaya, jadi penulis berfikir tidak salah melawat makam berkenaan yang kebetulan terletak di kawasan masjid. Paling tidak dapat juga melawat rumah Allah.

Jadi pada sebelah pagi sebelum bertolak pulang ke Jakarta, penulis meminta pemandu kenderaan yang disewa supaya berhenti sebentar di makam berkenaan.

Pemandu berkenaan pula nampaknya cukup senang dengan permintaan penulis itu memandangkan dia juga seorang yang cenderung dengan ajaran Islam kerana pernah belajar di pesantren dan anaknya juga kini belajar di Pesantren Gontor di Jawa Timur.

Sebaik tiba di kawasan berkenaan penulis melihat terdapat pintu gerbang yang menunjukkan Masjid Sunan Ampel.

Kelihatan orang ramai berpusu-pusu masuk melalui pintu gerbang itu dan meneruskan perjalanan melalui lorong yang agak sempit dengan di kiri serta kanan terdapat peniaga yang menjual pelbagai barangan seperti buah kurma, tasbih dan sebagainya.

Daripada pakaian orang ramai itu seolah-olah mereka menghadiri majlis agama dan mungkin di masjid berkenaan terdapat ceramah agama fikir penulis.

Semakin hampir dengan kawasan masjid berkenaan terdengar suara orang mengalunkan ayat suci al-Quran, tetapi apabila dihampiri ia bukan dari masjid berkenaan, tetapi rupa-rupanya dari kedai-kedai di tepi jalan.

Rupa-rupanya untuk sampai ke masjid dan makam yang hendak dituju perlu melalui perjalanan kira-kira satu kilometer dengan orang ramai bersesak.

Tiba di kawasan masjid kelihatan para pegawai masjid sibuk mengawal orang ramai yang pada anggaran penulis berjumlah ribuan orang yang mahu masuk ke kawasan masjid.

Penulis pun mengikuti orang ramai berbaris untuk masuk kawasan masjid itu dan penulis melihat terdapat sekumpulan orang ramai sedang meminum air di dalam tempayan yang di kawasan masjid tersebut.

Menurut salah seorang daripada mereka air itu mengalir dari mata air yang tidak pernah kering dan diyakini dapat melegakan sakit-sakit badan dan pelbagai penyakit yang lain.

Meneguk

Penulis pun meneguk sedikit air tersebut menggunakan cawan yang diperbuat daripada besi yang dirantaikan pada paip yang tidak berhenti mengalirkan air ke dalam tempayan.

Rasa air itu agak payau, tetapi ia menyejukkan dan memang cukup menyegarkan badan penulis yang kepenatan membuat liputan di Surabaya. Selepas minum air berkenaan penulis masuk ke kawasan makam berkenaan iaitu makam Sunan Ampel.

Kelihatan banyak makam di kawasan berkenaan berkenaan, tetapi hanya sebuah makam yang agak besar dan di pagar kelilingnya dengan ratusan orang duduk membayar pelbagai ayat al-Quran dan ada juga yang berdoa serta tidak kurang juga yang bersembahyang.

Sayangnya ketika penulis hendak mengambil gambar, pengawal di masjid melarangnya dengan alasan supaya ia tidak dijadikan bahan untuk dijual.

Bagaimanapun katanya jika penulis mahu membuat liputan, penulis perlu mengemukakan surat permohonan. Menurut pengawal berkenaan tumbuhan di kawasan makam berkenaan cukup mujarab untuk mengubati pelbagai penyakit.

Sebagai contoh pokok mengkudu terdapat di kawasan itu digunakan untuk mengubati masalah orang yang tidak dapat mengandung.

Selepas duduk dan membaca ayat al-Quran  penulis pun berjalan keluar dan di dalam perjalanan keluar penulis sempat membeli senaskhah kalendar untuk tahun 2010.

Bagi penulis menziarahi makam, apatah lagi salah seorang wali memang cukup beruntung, tetapi seperkara yang penulis pelajari bahawa pihak masjid berkenaan tidak mengutip sebarang bayaran tetapi mereka menjual produk seperti kalendar kepada pengunjung untuk sebagai kenangan.

Melalui penjualan tersebut masjid berkenaan memperoleh pendapatan dan mungkin juga gerai-gerai yang terdapat di kawasan masjid itu juga disewa daripada pihak masjid.

Itulah rahmat yang diperoleh penduduk kawasan berkenaan dan pada masa yang sama pelancongan setempat dihidupkan yang sekali gus mengerakkan aktiviti ekonomi yang lain.

Di Malaysia aktiviti sedemikian yang masih kurang dan mungkin ia boleh dipelajari bagaimana pelancongan dalam negeri dapat memberi manfaat kepada institusi agama.


- Sumber: MINGGUAN MALAYSIA , 14 November 2009.

No comments: